Projek ForestHill capai peringkat akhir pembinaan, 85% unit sudah terjual – Ehsan Bina
Published on
Projek ForestHill capai peringkat akhir pembinaan, 85% unit sudah terjual – Ehsan Bina

KUALA LUMPUR – Kumpulan Ehsan Bina secara rasminya telah menyempurnakan majlis penamatan struktur (topping out) bagi projek Residensi ForestHill yang terletak di Damansara Perdana, Petaling Jaya. Pencapaian ini menandakan fasa pembinaan kini telah memasuki peringkat akhir, dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2027.
Projek pegangan pajakan yang berkeluasan 4.39 ekar ini mencatatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM490 juta, menjadikannya portfolio pembangunan terbesar Kumpulan Ehsan Bina setakat ini dari segi nilai pasaran.
Residensi ForestHill terdiri daripada dua buah menara kediaman berkepadatan rendah. Menara A setinggi 38 tingkat manakala Menara B setinggi 35 tingkat, yang secara keseluruhannya menawarkan 618 unit kediaman eksklusif. Komuniti ini direka khusus bagi memenuhi permintaan pasaran moden dengan variasi saiz unit yang praktikal, bermula daripada 953 kaki persegi sehingga 1,527 kaki persegi. Harga jualan bagi kediaman ini ditawarkan bermula daripada RM650 sekaki persegi.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Ehsan Bina, Jamie Lai berkata, keupayaan syarikat mengekalkan momentum pembinaan mengikut garis masa yang ditetapkan adalah hasil daripada kecekapan kawalan dalaman yang menyeluruh.
“Kami mempunyai kawalan penuh terhadap aspek kualiti, kos, dan garis masa projek. Pendekatan bersepadu ini membolehkan kami kekal mengikut jadual yang telah dirancang walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran pasaran kebelakangan ini,” jelas beliau selepas majlis roof topping tersebut. Beliau turut menambah bahawa tumpuan utama pasukan pengurusan kini adalah memastikan fasa penyerahan kunci kepada pembeli berjalan lancar mengikut jadual.
Pembangunan berkonsepkan resort ini dibina di atas kawasan tanah yang telah dipulihkan semula, yang mana sebelum ini merupakan tapak kuari terbiar. Kedudukannya yang strategik di pinggir tasik menawarkan kombinasi unik antara keindahan elemen semula jadi dan kemudahan urban, sekali gus menjadi daya tarikan utama bagi pembeli yang mencari keseimbangan gaya hidup moden.
Sambutan pasaran terhadap projek ini amat memberangsangkan apabila sebanyak 85 peratus daripada keseluruhan unit kediaman telah pun terjual setakat ini.